Folio (KPS)

1. Sosiologi dan Pembelajaran

Menurut Sharifah Alawiah (1985), Sosiologi adalah satu disiplin sains kemasyarakatan. Sosiologi adalah himpunan pengetahuan asas tentang masyarakat serta tingkah laku sosial mereka  secara lebih saintifik dan berdisiplin. Manakala Mohd Salleh (1998) pula menjelaskan sosiologi sebagai suatu bidang yang mengkaji secara saintifik tentang tingkah laku atau pergaulan masyarakat dan hubungan manusia. Terdapat beberapa teori utama dalam sosiologi yang telah diadaptasikan dalam pendidikan iaitu teori fungsionalisme, teori konflik dan teori interaksionisme simbolik. Teori fungsionalisme ini menganggap bahawa sesebuah masyarakat mempunyai matlamat yang sama dan setiap ahli memainkan peranan bagi mencapai matlamat melalui interaksi sosial. Seterusnya, teori konflik pula menyatakan bahawa interaksi sosial dalam sesebuah masyarakat adalah berdasarkan konflik, bukan kerjasama atau kompromi manakala teori interaksionisme simbolik menjelaskan bahawa setiap individu memberi makna terhadap sesuatu simbol (apa jua perkara atau benda selagi ianya mempunyai makna sesuatu yang melebihi maksud asal) .


 Pendidikan ditakrifkan sebagai suatu proses, bererti bagaimana seseorang itu diasuh dan diajar dan pendidikan sebagai suatu produk adalah kesan berlaku pembelajaran, iaitu pertambahan pengetahuan dan kemahiran serta perubahan cara berfikir seseorang. Menurut Mohd Salleh (1998) pula, sosiologi adalah salah satu disiplin ilmu dalam Sains Sosial. Selain sosiologi, disiplin ilmu yang lain ialah antropologi, sains politik, sejarah, ekonomi dan psikologi. Skop sosiologi adalah antara disiplin ilmu yang paling luas berbanding dengan disiplin yang lain.  Buat pengetahuan, sosiologi pendidikan ialah sains sosial gunaan yang menggunakan ilmu sosiologi untuk mengkaji pendidikan. la penting kepada para pendidik dan juga ibu bapa untuk memahami murid-murid, budaya dan masyarakat mereka. Sosiologi pendidikan ini bertujuan mengkaji tentang perhubungan pendidikan dengan masyarakat yang  melibatkan perhubungan antara tujuan pendidikan dengan kaedah pembelajaran, institusi pendidikan, memahami kurikulum, pengaruh politik dan juga agama. 

 

  1. Othman Abd Rahman, Salhah Abdullah, & Sapora Sipon. (2014). EAS3113 Sosiologi dalam Pendidikan. Usim. http://ddms.usim.edu.my/bitstream/123456789/7079/1/Sosiologi%20Dalam%20Pendidikan%20EAS%20311325.pdf

  2. Pengenalan kepada sosiologi pendidikan [PDF ]. (n.d.). Universiti Teknologi Malaysia. http://ocw.utm.my/file.php/151/Topik_1_Pengenalan_Sosio_Pendidikan.pdf



2. Interaksi dan Pembelajaran

Keupayaan guru dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran bergantung kepada pemilihan strategi pengajaran guru. Guru juga perlu bijak dalam memilih pendekatan, kaedah dan teknik yang sesuai. Ahmad Kilani (2001) menyatakan bahasa adalah alat komunikasi antara manusia. Justeru, proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam bilik darjah adalah interaksi sosial yang paling berpengaruh di sekolah. Hal ini kerana guru-guru berinteraksi dengan murid secara individu hampir setiap hari. Oleh itu, interaksi lisan yang berkesan di dalam bilik darjah menjadi satu medium bagi penguasaan kemahiran lisan murid-murid. Menurut Zamri (2012), terdapat enam kepentingan interaksi penyoalan lisan kepada guru dalam melaksanakannya di dalam bilik darjah. Keenam-enam kepentingan penyoalan ini jika digunakan oleh guru dengan betul akan menjadikan proses P&P menjadi lebih menarik. Enam kepentingan interaksi penyoalan lisan itu adalah memberi fokus kepada murid, meluaskan pemikiran, meningkatkan mutu pemikiran murid, mengarah dan memandu pemikiran murid, meningkatkan penglibatan murid dan membina pengetahuan asas murid.


Berdasarkan kajian yang telah dijalankan, didapati bahawa dalam proses permulaan P&P didapati guru masih mengamalkan interaksi lisan dalam kalangan murid. Hal ini penting untuk guru menyediakan keadaan kesediaan murid untuk meneruskan pembelajaran. Seterusnya, guru juga berpandukan teknik soal jawab dalam memastikan murid-murid menerima maklumat dan memahami isi pelajaran yang disampaikan oleh guru. Hal ini jelas memberi kesan yang positif kepada murid-murid dalam membentuk amalan interaksi lisan dalam kalangan mereka. Justeru, disarankan agar guru berusaha meningkatkan tahap amalan interaksi lisan di dalam bilik darjah. Guru seharusnya bijak dalam memilih dan mempelbagaikan strategi, teknik, pendekatan, dan kaedah pengajaran agar isi pengajaran dapat disampaikan dengan jelas dan berkesan kepada murid. Amalan teraksi lisan yang pelbagai dapat merangsang dan menarik minat murid untuk memahami isi pelajaran yang diajar oleh guru. 


Abdul Rasid jamian, Shamsudin Othman, & Sufiza Ishak. (2013). Interaksi lisan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu – JPBM (Malay Language Education Journal – MyLEJ)3(1), 42-51. https://spaj.ukm.my/jpbm/index.php/jpbm/article/view/58



1.

3. Kajian pengurusan dan pengajaran pelajar

 

Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran merupakan bidang pengurusan yang paling utama dalam arena pendidikan. Bidang ini memberi impak yang besar bagi sesebuah institusi pendidikan dalam melaksanakan tanggungjawab organisasi sekolah untuk mencapai prestasi cemerlang dalam aspek akademik pelajar. Pengurusan pengajaran dan pembelajaran mencakupi beberapa aspek iaitu persediaan rancangan kerja, penentuan objektif atau hasil pelajaran, sumber pengajaran dan pembelajaran, rancangan dan pelaksanaan pelajaran dan kaedah penilaian pengajaran dan pembelajaran (Mok Soon Sang, 2008). Kelima-lima aspek ini perlu dilaksanakan dengan berkesan agar pengajaran dan pembelajaran di sesebuah sekolah dapat berjalan dengan lancar. Tujuan penyediaan rancangan kerja ini adalah sebagai panduan asas dalam melaksanakan program pengajaran dan pembelajaran bagi sesuatu mata pelajaran. Menurut Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 3/1999 (1999), Persediaan Rekod Pengajaran dan Pembelajaran menyatakan Buku Rekod Mengajar mesti diisi mengikut perancangan harian sebelum masuk kelas. Dengan ini, guru boleh melaksanakan program pengajaran dan pembelajaran berdasarkan Sukatan Pelajaran secara sistematik. Seterusnya, Pengurusan pengajaran dan pembelajaran juga bertanggungjawab dalam menentukan objektif atau hasil pembelajaran. Secara amnya, objektif pengajaran dan pembelajaran boleh dianggap sebagai hasil perlakuan pelajar setelah mereka didedahkan kepada suatu proses pengajaran dan pembelajaran. Tambahan lagi, Pengurusan Pengajaran dan pembelajaran melibatkan sumber pengajaran dan pembelajaran. Sumber pengajaran dan pembelajaran adalah bahan-bahan pelajaran yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Akhir sekali, Pengurusan pengajaran dan pembelajaran memasukkan elemen perancangan dan pelaksanaan penilaian (Mok Soon Sang, 2008). Perancangan dan pelaksanaan penilaian ini berlaku di akhir pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu,  pihak sekolah terutamanya guru besar dan barisan pentadbir yang lain perlu saling bekerjasama memainkan peranan dalam membina dan melaksanakan pengurusan pengajaran dan pembelajaran yang lancar serta selesa digunapakai oleh barisan pelaksana iaitu guru-guru. Di samping itu, guru-guru juga perlu menjalankan tanggungjawab mereka secara bersistematik berdasarkan panduan yang disebutkan dalam pengurusan pengajaran dan pembelajaran. 


Raedah Md Amin. (2013). Pengurusan pengajaran dan pembelajaran sekolah rendah kebangsaan di Zon Bandar Daerah Kota Tinggi. http://eprints.utm.my/id/eprint/39043/1/RaedahMdAminMFP2013.pdf


4.  Kepimpinan dan organisasi

 

Sistem pendidikan yang diamalkan di Malaysia adalah secara berpusat, di mana dasar dan matlamat pendidikannya ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Dasar dan matlamat yang telah digagaskan ini perlu dilaksanakan oleh semua peringkat sekolah di negara ini. Pengetua memainkan peranan yang penting dalam memastikan kejayaan di sesebuah sekolah. Selain itu, pengetua juga dibantu oleh PK pentadbiran, PK hal ehwal murid, bimbingan dan kaunseling dan efikasi guru juga mempengaruhi pencapaian murid di sekolah yang mana secara tidak langsung akan dapat menjayakan dasar dan matlamat pendidikan negara. Terdapat lima gaya kepimpinan iaitu autokratik, demokratik, laissez-faire, instruksional, dan transformasional. Gaya kepimpinan autokratik adalah pemimpin yang banyak memberi arahan dan semua keputusan hanya dibuat oleh dirinya seorang. Pemimpin dengan gaya sebegini sangat mengutamakan hierarki dirinya sebagai seorang yang mempunyai kuasa. Seterusnya, pemimpin yang mengamalkan gaya kepimpinan demokratik merupakan seorang pemimpin yang selesa melibatkan semua pihak dalam membuat sesuatu keputusan mahupun tindakan. Pendekatan yang sering digunakan oleh pemimpin sebegini adalah melalui perbincangan dan mesyuarat. Di samping itu, Gaya kepimpinan lepas-bebas (Laissez-Faire) pula merupakan sejenis gaya kepimpinan yang memberi kebebasan penuh kepada kakitangannya dalam segenap aspek dan hanya mementingkan pada akhirnya mereka mencapai matlamat yang telah dipersetujui bersama. Sementara itu, Abdul Ghani (2009) dalam kajiannya telah mendapati bahawa kesan amalan kepimpinan transformasi ini dapat dilihat dalam beberapa aspek iaitu perlakuan pengikut, psikologi, organisasi dan pencapaian pelajar manakala kepuasan kerja ialah pembolehubah yang digunapakai dalam kajian tersebut bagi mengkaji kesan kepimpinan transformasi ke atas aspek psikologAkhir sekali, Kepemimpinan pengajaran atau kepemimpinan instruksional merujuk kepada satu cara untuk menterjemahkan wawasan ke dalam kurikulum formal dengan mengoptimumkan segala sumber yang ada melalui strategi pendidikan dan memastikan bahawa rancangan pendidikan dilaksanakan dengan efektif berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)

 

Baharuzaini Baharin, Muhammad Hisham Adnan, Mohd Hanif Mohd Zin, Mohd Norhisyam Kamaludin, & Azlin Norhaini Mansor. (2016). Gaya kepimpinan guru besar dan tahap efikasi guru. Journal of Personalized Learning2(1), 9-17. https://spaj.ukm.my/jplearning/index.php/jplearning/article/view/38


6. Pengurusan bilik darjah


Pengurusan bilik darjah merupakan salah satu komponen terpenting dalam proses PdP. Menurut Mok Soon Sang  (2011), pengurusan  bilik  darjah  adalah  satu  proses  pembentukan  suatu  alam pembelajaran serta usaha untuk mengekalkannya agar objektif yang ditetapkan tercapai. Suasana bilik  darjah  yang  terbaik  semasa  pengajaran  dan pembelajaran  adalah  penting  bagi  memastikan pelajar dapat belajar dengan baik. Bagi  seorang  guru,  pengurusan  bilik  darjah  adalah elemen yang paling mencabar dan kemahiran yang tinggi diperlukan dalam melaksanakannya. Suasana pembelajaran yang berkesan tidak mungkin terbina dengan hanya memberi tumpuan pada proses penyampaian isi pengajaran guru sahaja. Pengurusan bilik   darjah   yang   baik   juga menyumbang   kepada   peningkatan pencapaian   akademik   pelajar. Seorang guru yang baik haruslah menguasai kemahiran pengurusan bilik darjah. Purata murid di dalam sebuah kelas sekolah rendah di Malaysia adalah lebih kurang 40 orang dengan 40 ragam yang berlainan. Ia adalah jumlah yang besar, maka tidak hairanlah pengurusan bilik darjah diperakui sebagai cabaran yang besar dalam profesion perguruan.

 

Secara  keseluruhannya  terdapat  empat  komponen  utama  dalam  pengurusan  bilik  darjah  iaitu langkah reaktif atau proaktif, langkah pencegahan, menetapkan peraturan atau arahan yang tetap dan pengurusan masa (Piwowar, 2013). Langkah reaktif diambil bagi mendorong pelajar mengulangi tingkah lakunya yang positif seperti menjawab  soalan,  berkelakuan  baik  dan  memberikan  hasil  kerja  yang  baik.  Sesetengah  jenis ganjaran  dapat  mendorong  si  penerima  mengulangi tingkah lakunya yang baik. Antara langkah reaktif  yang dimaksudkan adalah  memberi  pujian, ganjaran atau penghargaan di atas setiap tingkah  laku  positif  yang dilakukan. Seeterusnya, langkah pencegahan pertama kalinya diperkenalkan oleh Kounin (1970) dalam Model Pengurusan Kelompok Kounin. Langkah ini diambil bagi mencegah masalah daripada berlaku. Guru akan mengambil langkah yang sepatutnya bagi mengelakkan masalah gangguan di dalam kelas tersebut berlaku dengan pelbagai kaedah. Di samping itu, dengan membuat peraturan tetap, guru dapat mengajar murid supaya lebih berdisiplin dan bilik darjah akan lebih terkawal. Guru dapat mengelakkan pelajar dari membuat bising serta dapat mengawal aktiviti pembelajaran dengan baik. Akhir sekali, pengurusan masa adalah salah satu langkah utama dalam pengurusan bilik darjah. Guru haruslah bijak mengagihkan masa dengan sebaiknya. 


Foziana Jamaludin, Mohamed Yusoff Mohd Nor, & Mohd Izham Mohd Hamzah. (2018). Latihan dalam perkhidmatan : Pengurusan bilik darjah. Jurnal Wacana sarjana2(1), 1-12. https://spaj.ukm.my/jws/index.php/jws/article/view/78/55


7. Pengurusan sumber

 

Pengurusan sumber adalah penting kepada pengurusan sekolah secara berkesan. Hal ini kerana pelajar dapat belajar secara optimum apabila pengajaran dan sumber pembelajaran dapat memenuhi kepelbagaian gaya pembelajaran, minat, keperluan, kebolehan dan perbezaan individu. Secara umumnya, sumber pembelajaran dapat memudahkan guru untuk mengajar di dalam kelas dengan adanya kemudahan seperti papan tulis, buku teks, buku latihan, lukisan , carta, slaid, televisyen, projektor dan banyak lagi. Penggunaan sumber pembelajaran yang disediakan ini digunakan sama ada secara individu atau kumpulan serta memberi penekanan kepada sumber yang digunakan. Semua sumber pembelajaran ini telah disediakan oleh pihak pusat sumber sekolah bagi memastikan semua pelajar dapat menuntut ilmu dengan cemerlang. Objektif pusat sumber sekolah adalah bagi menyediakan bahan buku dan bukan buku bagi membantu guru dan murid melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. Seterusnya, menyediakan bahan-bahan sesuai bagi memupuk minat membaca dan belajar di kalangan murid. Di samping itu, ia juga mempunyai kaedah pengajaran yang berbagai-bagai dan aktiviti pembelajaran yang berpusatkan murid. 

 

  1. Azman Larut. (2005). Panduan mengurus pusat sumber di sekolah. PTS Professional Publishing Sdn.Bhd. https://books.google.com.my/books?hl=en&lr=&id=HRau3CLIKa4C&oi=fnd&pg=PR13&dq=mengurus+sumber+di+sekolah&ots=ydPOwdAizM&sig=-PAtDcChQVSNSd0cBL2JysQIfNo&redir_esc=y#v=onepage&q=mengurus%20sumber%20di%20sekolah&f=false
  2. Blandford, S. (2010). Mengurus Sumber Di Sekolah. ITBM. https://books.google.com.my/books?hl=en&lr=&id=jC7TMb6QBBYC&oi=fnd&pg=PA1&dq=pengurusan+sumber+di+sekolah&ots=e_c7QQh0Zr&sig=VvWv7G2B8XZPDnNlA7T8NjTiNJU&redir_esc=y#v=onepage&q=pengurusan%20sumber%20di%20sekolah&f=false

 

8. Strategi mengurus bilik pembelajaran


Makmal sains ialah ruang yang digunakan untuk mengajar, membuat analisis, penyelidikan, menjalankan eksperimen dan penghasilan bahan di sekolah menengah. Bilik pembelajaran ini disediakan di setiap sekolah dengan kelengkapan yang secukupnya seperti radas, peralatan dan bahan-bahan kimia dan lain-lain adalah penting bagi melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dapat membantu murid. Dengan adanya makmal ini, penglibatan pelajar dapat ditingkatkan secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) tanpa mengahadapi sebarang masalah. Hal ini kerana pelajar berpeluang menggunakan peralatan, bahan dan radas sesuai, mempelajari teknik pengumpulan data, menjalankan pemerhatian serta penyiasatan. Bukan itu sahaja, mereka juga dapat mengaplikasikan teori sains yang mereka telah belajar dengan lebih efektif. Seterusnya, semua sekolah perlu mematuhi kesemua 7 ciri keselamatan dalam makmal iaitu memaparkan peraturan makmal, mempunyai petunjuk keselamatan, menyediakan alat pemadam api, menyediakan peti pertolongan cemas, menampal pelan kebakaran/ kecemasan, memaparkan simbol-simbol berbahaya dan juga melabelkan bahan dan radas. 

Menurut (Pusat Perkembangan Kurikulum, 1999) Organisasi makmal atau bengkel merupakan sesuatu sistem pengurusan yang memerlukan kerjasama antara pentadbir, guru dan pelajar. Guru terlibat di dalam sistem pengurusan bengkel seharusnya mahir tentang aspek pengurusan dan amalan di bengkel kemahiran hidup kerana perjalanan sesebuah bengkel banyak melibatkan aspek merancang, mengatur, menyelia dan mengawal. Pengurusan bengkel yang teratur semestinya dapat membantu proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan. Selain itu, guru perlu menyediakan keadaan bengkel yang lebih ergonomik sebagai langkah mengelakkan berlakunya kemalangan semasa pelajar melakukan kerja-kerja amali. Antara langkah keselamatan yang perlu diambil ialah dengan memastikan pelajar memakai apron dan penutup mulut ketika mengendalikan mesin pengelas kayu. Selain itu, guru perlu memastikan pelajar tidak  bermain-main semasa melakukan kerja-kerja amali di dalam bengkel.


  1. Marlina Ali, Mohd Ali Ibrahim, Nor Hasniza Ibrahim, Halim Abdullah, & Nurshamela Saim. (2014). Perbandingan amalan pengurusan dan keselamatan makmal antara sekolah berprestasi tinggi dan sekolah harian biasa di Johor. Konvensyen Antarabangsa Jiwa Pendidikhttp://eprints.utm.my/id/eprint/61073/1/MarlinaAli2014_PerbandinganAmalanPengurusandanKeselamatanMakmal.pdf
  2. Kharni Dol Bakkri. (2013). Pengurusan Bengkel Kemahiran Hidup di Sekolah Menengah Zon Chanis Muadzam Shah Pahang. http://eprints.utm.my/id/eprint/41948/5/KharniDolKakhriMFP2013.pdf


9. Pengurusan tingkahlaku atau disiplin


Moles (1989) menegaskan dua objektif utama kewujudan disiplin di sekolah adalah bagi memastikan keselamatan murid serta mewujudkan suasana yang kondusif bagi pembelajaran. Disiplin asas melibatkan individu dalam masyarakat yang lebih besar sementara disiplin intrinsik pula adalah disiplin yang lahir dari diri individu tanpa sebarang paksaan. Tujuan disiplin di sekolah adalah untuk mengawal tingkah laku murid melalui hukuman atau ganjaran. Di sekolah, pihak-pihak yang bertanggungjawab secara langsung dalam urusan disiplin murid adalah pengetua dan guru-guru. Kebanyakan perbuatan melanggar peraturan yang dilakukan oleh murid adalah akibat sifat semula jadi manusia dan dilakukan secara spontan dan bukan berniat ataupun terancang. Namun begitu, hal ini perlu diberi perhatian sewajarnya oleh pihak sekolah dengan menanganinya dari awal lagi supaya tidak berlarutan. Antara usaha kementerian pelajaran bagi memeperjelaskan perbuatan salah laku murid adalah Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.9/1975 yang menyenaraikan 17 kesalahan yang dianggap berat, buku panduan bagi ibu bapa mengenai disiplin murid, buku panduan disiplin untuk pelajar dan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.7/2003 iaitu kuasa guru merotan murid mengkategorikan salah laku murid kepada tiga jenis.


Antara aspek disiplin yang perlu dipatuhi di sekolah adalah menepati masa, memakai pakaian seragam, menjaga harta benda sekolah atau orang lain, mengawal tingkah laku dan sebagainya. Selain aspek-aspek yang dibincangkan tadi pengetua juga diberi kuasa peraturan-peraturan tambahan disiplin mengikut keadaan dan keperluan sekolah. Contoh jenis peraturan yang boleh digubah ialah menetapkan pemakaian ‘anak baju’ untuk perempuan agar tidak kelihatan tubuh dan perkara-perkara lain yang tidak disebut dalam surat pekeliling ikhtisas. Nilai-nilai disiplin perlu disemai dan dipupuk sejak mereka masih kecil lagi supaya dapat membentuk disiplin kendiri yang kental. Guru bukan sahaja mempunyai peranan dan tanggungjawab dalam mengajar tetapi juga mengurus dan mendidik iaitu membentuk sikap, nila dan akhlak murid. Guru dikatakan memainkan peranan yang penting dalam disiplin murid memandangkan guru adalah orang paling  rapat dan perantara langsung antara murid dengan sekolah dan sistem pendidikan. Sehubungan itu, guru-guru seharusnya mencari penedekatan pembetukan dan pemumukan disiplin yang sesuai supaya melahirkan murid yang mempunyai disiplin yang tinggi. 


Eng, J. A. (2011). Pengurusan Disiplin Murid: Edisi Kedua. PTS Publications & Distributors Sdn Bhd. https://books.google.com.my/books?hl=en&lr=&id=dxIGAwAAQBAJ&oi=fnd&pg=PA27&dq=pengurusan+disiplin&ots=hFOc-bCBxZ&sig=Gz-W52_Vx0WoGlyKcH6Kn0FS-SU&redir_esc=y#v=onepage&q=pengurusan%20disiplin&f=false


10. Pengurusan penasihatan murid

 

Terdapat pelbagai cara untuk membimbing dan membantu manusia iaitu dengan memberi nasihat, kaunseling, membimbing dan memalui proses psikoterapi. Dalam Surah Al-Asr, Allah SWT telah berfirman bahawa agar nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dengan kesabaran. Jelaslah bahawa nasihat ialah suatu pengajaran yang baik bertujuan membantu individu agar mengrefleksi dirinya. Kita ketahui bahawa guru dan ibu-bapa sentiasa memberi nasihat supaya “belajar rajin-rajin”, “jangan buang masa”, “hormati ibu-bapa” dan sebagainya. Oleh itu, nasihat yang sesuai dapat membangunkan sifat-sifat baik pada diri individu dalam melaksanakan pelbagai peranan sosial sama ada salam keluarga, masyarakat dan di tempat kerja. Seterusnya, bimbingan pula ialah perbuatan membimbing dan memberi petunjuk. Penasihatan dan bimbingan mempunyai konsep yang sama tetapi ia lebih kepada suatu proses yang mebantu individu memahami diri mereka.supaya ia boleh menggunakan keupayaan dan bakat yang ada sepenuhnya. Terdapat beberapa matlamat perkhidmatan bimbingan di sekolah iaitu penggayaan semua aspek diri pelajar, pencegahan salah laku, pemulihan pelajar bermasalah dan memberi kaunseling krisis. Di samping itu, kaunseling pula bermaksud sebagai penasihatan atau perundingan. Namun, seseorang yang melalui proses kaunseling itu tidak hanya menerima nasihat tetapi perlu menganalisis masalah yang dihadapi bersama-sama dengan kaunselor. Ia juga didefinisikan sebagai proses teratur yang melibatkan perbincangan rapi tentang masalah yang dihadapi dan menyelesaikannya menerusi bimbingan dan nasihat. Kaunseling juga difahamkan sebagai satu perhubungan menolong di antara seseorang yang terlatih dan mahir dalam teknik menolong secara pertuturan dan mempunyai pengetahuan berkenaan perlakuan manusia dengan seseorang yang meminta bantuan sama ada secara sukarela ataupun terpaksa (Cormier & Hackney 1987). Akhir sekali, psikoterapi pula ialah proses membantu individu bermasalah psikologi yang lebih serius dan dilakukan oleh pakar psikatri. 

 

Kaunseling Individu. (2003). PTS Professional. https://books.google.com.my/books?hl=en&lr=&id=q5gIwFDmJ94C&oi=fnd&pg=PP9&dq=pengurusan+penasihatan+murid&ots=txkM-iJEWD&sig=l7Lbznl8Fl5w29zdSYWG7WHn-Dw&redir_esc=y#v=onepage&q&f=false


11. Pengurusan pelbagai budaya

 

Pendidikan pelbagai budaya ialah struktur keutamaan pendidikan, komitmen dan proses yang menggambarkan realiti budaya majmuk sebagai budaya kehidupan di Malaysia. Keutamaan pendidikan perlu memberi fokus pada perkembangan dan pengekalan kesedaran pelbagai budaya seperti yang digambarkan oleh individu, kumpulan dan komuniti. Kompetensi budaya dalam kalangan guru menjadi semakin penting sebagai sebahagian sistem penyampaian kurikulum pendidikan (Leighton, 2009). Selaras dengan peningkatan populasi murid, guru perlu mengaplikasi amalan kompetensi budaya dalam pembinaan rancangan pengajaran dan pembelajaran, pembinaan penilaian dan interpretasi, interaksi harian dengan murid serta keseluruhan persekitaran bilik darjah. Sikap perkauman merupakan cabaran utama untuk membentuk hubungan etnik yang harmoni di negara ini. Sikap perkauman juga wujud dalam bidang pendidikan terutamanya dalam kalangan guru yang menunjukkan sifat perkauman terhadap pelajar berlainan etnik. Oleh itu, guru memainkan peranan bagi berhadapan dengan murid daripada pelbagai latar belakang budaya dan etnik bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar. Guru boleh mengadaptasi dengan cara yang lebih kreatif dan inovatif yang tidak hanya sekadar mempunyai kesedaran terhadap pelbagai budaya tetapi juga meraikan dan memaksimumkan kekuatan kepelbagaian dan aset yang dibawa oleh pelajar dan keluarga mereka. Menurut (Turner, 2007), guru juga perlu mempunyai dan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan sebagai langkah untuk lebih memahami murid yang bersifat kepelbagaian ini. 


Yasmin Ahmad, & Najeemah Mohd Yusof. (2015). Kompetensi pelbagai budaya dalam kalangan guru pelbagai etnik di Sekolah Menengah Kebangsaan di Malaysia. Jurnal Kepimpinan Pendidikan2(2), 1-13. https://ojie.um.edu.my/index.php/JUPIDI/article/view/8318/5776https://books.google.com.my/books?hl=en&lr=&id=Md5RjASA7qMC&oi=fnd&pg=PA1&dq=pendidikan+pelbagai+budaya&ots=0-9-RLvByZ&sig=pThsL2ve7XKS8JU4gss5YQkom3A&redir_esc=y#v=onepage&q=pendidikan%20pelbagai%20budaya&f=false


12. Pengurusan murid pelbagai upaya

 

Pendidikan Khas (PK) merujuk kepada program yang dirancang khusus untuk memenuhi pelbagai keperluan murid-murid khas. Manakala, Pendidikan Pemulihan (PP), adalah satu program pendidikan disediakan untuk murid yang mengalami masalah dalam penguasaan kemahiran asas 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira yang kompleks disebabkan oleh faktor persekitaran. Mendefinisikan murid-murid khas bermasalah pembelajaran (MKMP) adalah agak komplek. MKMP boleh dibahagi kepada beberapa kategori kursus seperti murid bermasalah Sindrom Down, Autisme, Palsi Serebral, Attention Deficit Disorder (ADD) dan Attention Deficit Hiperactive Disorder(ADHD) dan Pintar Cerdas (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2000). Seterusnya, menurut Pusat Perkembangan Kurikulum Malaysia (2008), murid pemulihan (MP) ialah mereka yang menghadapi masalah. pembelajaran dalam kemahiran-kemahiran tertentu, bersifat negatif terhadap pembelajaran dan mempunyai tingkah laku yang menjejaskan pembelajaran serta kurang sikap keyakinan diri dan sikap positif terhadap pembelajaran. Oleh sebab jenis MP dan MKMP adalah berlainan, maka matlamat pendidikan kepada mereka adalah agak berbeza. Matlamat PP adalah "Memastikan semua murid menguasai kemahiran asas 3M kecuali murid berkeperluan khas (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2012)." Sebaliknya, misi PK pula ingin menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada murid-murid berkeperluan khas untuk menjadikan mereka insan yang dapat berdikari, berjaya dalam hidup dan memberikan sumbangan bakti kepada masyarakat dan negara (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2008).


Fong, C. E. (2018). Dari Pendidikan Khas ke Pendidikan Pemulihan: Dua program masalah pembelajaran. ANALITIKA10(1), 46. https://doi.org/10.31289/analitika.v10i1.1605


13. Sekolah dan persekitaran


Permuafakatan antara sekolah dan komuniti bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan kerana proses pendidikan semakin mencabar memerlukan pelajar pada masa kini dilengkapi dengan pelbagai kompetensi. Berdasarkan kepada teori Kesan Pertindihan Sfera (Overlapping Spheres of Influence), Epstein (2009), terdapat enam jenis aktiviti permuafakatan yang boleh dilaksanakan antara sekolah dan komuniti iaitu (i) program keibubapaan seperti peranan ibu bapa untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif di rumah; (ii) aktiviti memperkukuhkan komunikasi dua hala antara ibu bapa dan guru; (iii) program sukarela untuk membantu sekolah dalam pelaksanaan aktiviti seperti hari sukan, hari guru dan gotong-royong; (iv) pembelajaran di rumah iaitu ibu bapa memantau kerja rumah dan ulang kaji; (v) keahlian ibu bapa dalam jawatankuasa di sekolah seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan keselamatan serta (vi) kolaborasi dengan agensi luar. Kajian mendapati kejayaan permuafakatan antara sekolah dan komuniti di dorong oleh beberapa faktor (Sanders, 2015). Dua faktor utama iaitu kepimpinan pengetua dan komunikasi berkesan didapati berjaya menarik komuniti untuk bersama-sama dengan sekolah memikul tanggungjawab pendidikan anak-anak mereka.

 

Sementara itu, Davies (2002) menyatakan komunikasi menggalakkan perkongsian maklumat dan strategi antara sekolah dan komuniti iaitu (i) komuniti akan lebih memahami tentang pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di sekolah seperti kandungan kurikulum, sistem penilaian dan pelaporan, (ii) maklumat mengenai peranan mereka seperti memantau kerja rumah atau ulang kaji di rumah dan (iii) sentiasa mendapat maklumat terkini mengenai aktiviti sekolah. Kejayaan permuafakatan antara sekolah dan komuniti menyumbang kepada peningkatan pencapaian pelajar (Sheldon, 2003). Peningkatan pencapaian ini didorong oleh faktor seperti peningkatan kadar kehadiran ke sekolah apabila pemantauan kehadiran melibatkan ibu bapa (Sheldon dan Epstein, 2004). Laporan Tahunan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2016) telah memberikan banyak manafaat hasil permuafakatan sekolah dan komuniti. Manafaat yang diperoleh termasuklah berjaya meningkatkan kehadiran murid ke sekolah. Oleh itu, kejayaan permuafakatan sekolah dan komuniti luar bandar perlu diberikan perhatian agar usaha tersebut boleh dijadikan panduan kepada sekolah lain, khususnya di kawasan luar bandar. 


Andin, C., Ambotang, A. S., Kamin, Y., & Hamzah, R. (2019). Transformasi persekitaran sekolah melalui permuafakatan sekolah dan komuniti luar bandar. Malaysian Journal of Society and Space15(2). https://doi.org/10.17576/geo-2019-1502-07

 

 

 

 

 

 

 


 

 


Comments